KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Malaysia sudah mengesahkan satu slot ke final acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Macau selepas dua wakil negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bakal berentap sesama sendiri pada aksi separuh akhir esok.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Macao East Asian Games Dome hari ini, Wan Arif-Roy King tampil cemerlang apabila menewaskan pasangan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dengan keputusan 21-12, 21-16.
Sementara itu, Hon Jian-Haikal mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam pertarungan sengit yang berakhir 21-14, 13-21, 22-20.
Dalam saingan beregu campuran, dua pasangan negara turut melangkah ke separuh akhir.
Pilihan utama kejohanan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan gandingan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-17, 22-20 dan bakal berdepan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Satu lagi gandingan negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing turut melakar kemenangan selepas menundukkan pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-12, 17-21, 21-18.
Wong-Pei Jing dijadualkan menentang wakil Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah pada separuh akhir esok.
Dalam acara perseorangan lelaki, pemain muda negara Justin Hoh, meneruskan kemaraan selepas mengetepikan cabaran pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen 21-9, 21-18.
Beliau akan menentang wakil India, Tharun Mannepalli dalam perebutan tempat ke final. - BERNAMA