KOTA BHARU, 1 Ogos - Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) telah menyelesaikan semua kes tunggakan gaji pemain import yang difailkan di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan kelab terdahulu, Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau telah menasihati pihak pengurusan supaya tidak memberi sebarang maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan oleh bekas penyerang import Mohamad Ghaddar mengikut saluran dan peraturan yang ditetapkan.
“Saya sudah nasihatkan pengurusan supaya jangan jawab di media sosial. Ini kerana perkara yang membabitkan peraturan bukan semua orang faham dan jika tidak ditangani dengan betul, boleh menjejaskan reputasi pihak tertentu.
“Segala isu yang dibangkitkan oleh Ghaddar akan diteliti mengikut prosedur sedia ada. Kita akan selesaikan dengan cara berbincang dan menggunakan budi bicara jika perlu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Rakan Penaja Kelantan TRW bagi musim 2025/2026, hari ini.
“Kita ada sembilan kes semuanya, termasuk satu kes terbaharu. Semuanya sudah diselesaikan dan kini hanya menunggu sistem FIFA mengemas kini status.
“Jika tiada halangan, minggu depan kita akan daftar semua pemain, termasuk seorang lagi pemain import, iaitu pemain kebangsaan Filipina yang bakal menyertai pasukan,” katanya .
Sebelum ini, Ghaddar menerusi hantaran di Instagram mendakwa pengurusan Kelantan TRW tidak profesional, selain meluahkan kekecewaan kerana gagal memuktamadkan perpindahan pemain Syria, Moaiad Alkhouli, yang dibawanya masuk ke pasukan. - BERNAMA