KUALA LUMPUR, 4 Disember – Pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing, bakal membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA Thailand 2025, selepas beberapa tahun menanti peluang tersebut.
Atlet berusia 28 tahun itu menyifatkan pemilihannya kali ini sebagai peluang keemasan dan bertekad memanfaatkannya sebaik mungkin.
Sebelum ini, Mei Xing sering disenaraikan dalam perancangan awal skuad, namun tidak dapat beraksi kerana komitmen terhadap kejohanan penting seperti Piala Uber dan Piala Sudirman.
Kini digandingkan dengan Go Pei Kee dan berada di ranking ke-22 dunia, pasangan ini menjadi pilihan kedua negara di belakang gandingan utama, Pearly Tan – M. Thinaah.
“Tahun ini memang terasa peluang itu betul-betul datang kepada saya. Kali ini saya hanya mahu buat yang terbaik dan bawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.
Beliau juga mengesahkan tiada pertukaran pasangan dilakukan pada saat akhir, mengekalkan pasangan asal kerana dianggap yang paling kuat.
Pada edisi terdahulu di Phnom Penh, skuad negara dikejutkan dengan kekalahan kepada Filipina pada suku akhir acara berpasukan. Skuad badminton negara dijadual berlepas ke Bangkok esok.