NILAI, 24 September- Saingan sengit antara atlet Pencak Silat kategori Bebas Putri daripada kontinjen Terengganu dan Kelantan dalam perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN diakhiri dengan 33 nilai pungutan mata seri.
Atlet Terengganu, Farah Fareina Mohd Zaih dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan itu dengan membawa pulang pingat emas setelah delegasi teknikal membuat pertimbangan ke atas keseluruhan aksi perlawanan.
Farah Fareina pada awalnya ketinggalan mata selepas dijatuhkan pencabar, Nur Nazreen Yusreeny Md Nazrudin, namun kembali mendapat rentak sehingga ke peringkat akhir.
"Saya berasa sangat gembira daripada SUKMA terakhir saya, saya berjuang hampir 10 tahun.
Tiga tahun saya tunggu saat ini, terima kasih kepada keluarga dan kawan-kawan yang menyokong," katanya selepas perlawanan tersebut.
(Farah Fareina Mohd Zaih, Atlet Terengganu)
Sementara itu, anak didik pesilat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari, turut menyumbang satu pingat emas buat negeri Pahang.
Jelas Mohamad Hazim Amzad, SUKMA ke-20 MSN adalah temasya SUKMA yang terakhir buat beliau dan berbangga dapat mengekalkan momentum dengan memperoleh pingat emas yang kedua selepas SUKMA Perak pada 2018.
"Syukur, hari ini saya dapat mengekalkan emas kali kedua dalam SUKMA.
Ini SUKMA terakhir saya, dan saya dah buat yang terbaik," katanya.
(Mohamad Hazim Amzad, Atlet Pahang)
Sementara itu, Mohd Al-Jufferi berpuas hati dengan prestasi anak-anak didiknya yang beraksi dalam temasya tersebut.
"Dari pagi sampai petang dan malam ini, semua pelajar saya telah beri yang terbaik dan kemampuan mereka mungkin sampai situ sahaja kerana tiada rezeki.
Akhirnya setelah kita cuba dapat pergi enam separuh akhir dan lima ke peringkat akhir," katanya.
Pertandingan akhir diteruskan hari ini dengan siangan bagi acara Olahraga Putra kategori G, H, I, J dan bebas serta acara Olahraga Putri kategori D, E, F dan bebas.