fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Sarawak juara keseluruhan tamatkan penantian 30 tahun

Kontinjen Sarawak juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024

KUCHING, 24 Ogos - Sarawak berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, mengakhiri penantian panjang selama 30 tahun.

Kejayaan ini disahkan apabila Sarawak meraih 76 pingat emas, 55 perak, dan 70 gangsa dengan mengumpul 201 pingat sekali gus mengulangi kejayaan terakhir yang dicapai pada tahun 1994.

Untuk rekod Sarawak telah muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA sebanyak tiga kali sebelum ini, iaitu pada tahun 1990, 1992 dan 1994.

Kejayaan Sarawak ini juga lebih manis apabila kontinjen tuan rumah berjaya melepasi sasaran 70 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini, menandakan prestasi cemerlang dalam temasya kali ini.

Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai juara keseluruhan dengan menambah dua lagi pingat emas dalam acara International 420 - Lelaki dan Wanita.

Wilayah Persekutuan pula terpaksa menerima kekalahan tipis, hanya ketinggalan satu pingat emas di belakang Sarawak, dengan jumlah keseluruhan 75 pingat emas, 65 pingat perak dan 72 gangsa.

Selangor pula berada di tempat ketiga dengan 56 pingat emas, 64 perak, dan 61 gangsa.

Majlis penutupan SUKMA XXI Sarawak 2024 dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir majlis Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

GRACE AISYAH KEDAYAN