fb fb fb fb fb

Speedy Tigers mampu bangkit kembali

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September -Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara Sarjit Singh tidak mudah melatah meskipun prestasi Speedy Tigers yang kurang memberangsangkan ketika ini.

Malah beliau yakin pasukannya masih berada di landasan yang tepat cuma memerlukan sedikit masa sebelum pasukan mencapai tahap prestasi diingini.

“Jika ditanya kepada saya, pasukan ini semakin baik, cuma keputusan belum menampakkannya. Semua orang tahu kita ada tiga pemain hebat seperti Marhan Jalil, Fitri Saairi dan Faizal Saari.

“Dalam pertandingan ini dapat dilihat pemain seperti Nik Aiman, Shello Silverius dan Syafiq Sumatri bermain dengan baik termasuk pemain muda seperti Faris Harizan. Macam saya cakap pada hari pertama, beri kami 18 bulan sebab anda tidak akan lihat perubahan hanya dalam satu malam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media diadakan di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Sebagai rekod, sejak mengambil alih pasukan negara pada Mac lepas daripada Arul Selvaraj, Sarjit Singh gagal menghadirkan sebarang pingat buat Speedy Tigers dalam tiga kejohanan yang disertai tahun ini.

Dalam pada itu, Ketua Pasukan Speedy Tigers Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata beliau mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan pemain-pemain negara dalam membentuk pasukan yang ampuh.

Justeru, beliau berkata dirinya dan pemain-pemain lain akan bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki kelemahan terutama di bahagian fizikal.

“Sebagai ketua pasukan dan pemain berpengalaman, saya akan cuba membantu pasukan supaya mereka ada mentaliti kemenangan untuk dapat keputusan positif selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata pihaknya akan mempertimbang meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai Sarjit tidak lama lagi.

“Kita akan lakukan apabila tiba masanya. Ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah akan datang,” katanya.- BERNAMA

Trainee2