fb fb fb fb fb

SOJC 2025: Skuad hoki remaja tewaskan New Zealand 5-3

Skuad hoki remaja lelaki negara tewaskan New Zealand 5-3/Foto Malaysian Hockey Confederation

JOHOR BAHRU, 18 Oktober - Skuad hoki remaja lelaki negara menutup kempen Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 Tahun (B-21), Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan kemenangan bergaya selepas menewaskan New Zealand 5-3 dalam aksi penentuan tempat kelima di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.

Malaysia bermula cemerlang untuk membuka jaringan apabila Muhammad Harris Iskandar Osman meledak gol menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kedua perlawanan.

Momentum terus berpihak kepada skuad muda negara apabila Muhammad Haziq Zunnurain Mohd Azhary menggandakan kedudukan pada minit ke-10 bagi memastikan Malaysia mendahului selesa.

Pasukan lawan cuba bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Bradley Rothwell pada minit ke-32, namun semangat juang pemain negara tidak luntur apabila Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-44, disusuli jaringan Azimuddin Shakir Kamaruddin tiga minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 4-1.

New Zealand kembali memberi tekanan di penghujung perlawanan hasil jaringan Jordan Whittleston (m-56) dan Dean Clarkson (m-60), tetapi Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi memastikan kemenangan mutlak Malaysia dengan gol kelima di minit akhir perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad hoki remaja negara menamatkan kempen edisi ke-13 kejohanan berprestij itu di tempat kelima keseluruhan, sekali gus menutup tirai SOJC 2025 dengan keputusan positif.

GRACE AISYAH KEDAYAN