fb fb fb fb fb

Skuad NSFC sedia hadapi JDT malam esok

Pasukan NSFC bersedia hadapi JDT dalam aksi pertama Liga Super esok - Foto NSFC

SEREMBAN, 11 Ogos - Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah bersedia untuk turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, bagi menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) malam esok.

Kapten pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee menyifatkan persiapan pasukan menjelang aksi pertama Liga Super itu berada dalam baik.

Beliau berkata, skuad Jang melalui tempoh pramusim yang memberangsangkan apabila berjaya mencatat keputusan positif dalam beberapa aksi persahabatan.

Ahmad Khuzaimi berharap momentum positif itu mampu dikekalkan dalam menghadapi saingan musim ini.

1108 SKN N9 FC MAHU SEKAT JDT 2
Kapten pasukan NSFC, Ahmad Khuzaimi Piee - Foto NSFC

"Persiapan pasukan untuk memulakan Liga Super ini semuanya berjalan baik dan lancar.

"Semua pemain gembira dan dapat melakukan apa yang diterapkan jurulatih dan saya harap pasukan dapat meneruskan momentum ini sebelum sepak mula menentang JDT," katanya dalam satu rakaman video yang dikongsikan di laman Facebook rasmi NSFC.

Sementara itu, beliau berharap penyokong turun ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memberi sokongan kepada NSFC.

1108 SKN N9 FC MAHU SEKAT JDT 3
NSFC dijadualkan menentang JDT pada pukul 8.15 malam - Foto NSFC

"Kepada semua penyokong Negeri Sembilan yang akan bertandang ke Johor nanti, saya doakan perjalanan anda selamat pergi dan pulang.

"Sama-sama kita doakan kejayaan pasukan NSFC untuk perlawanan pertama Liga Super nanti. 'Hobin Jang Hobin'," katanya.

Pasukan NSFC dijadualkan bertemu JDT pada pukul 8.15 malam esok.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK