KUALA LUMPUR, 17 Februari - Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menunaikan janjinya apabila meluluskan insentif kemenangan sebanyak RM96,000 kepada skuad hoki lelaki 5 sebelah kebangsaan.
Ia susulan kejayaan mereka muncul naib juara Piala Dunia 5 Sebelah di Oman, baru-baru ini.
Perkara itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan ringkas menerusi media sosialnya.
Badan induk tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada Hannah dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas insentif itu.
Ketika menyambut kepulangan skuad kendalian Wallace Tan dari Muscat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Februari lepas, Hannah berkata skuad berkenaan bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000
Beliau turut memaklumkan pihaknya juga akan membayar semula wang yang telah dibelanjakan KHM bagi kempen Piala Dunia di Oman.
Malaysia muncul naib juara edisi Piala Dunia Hoki 5 Sebelah 2024 selepas tewas 2-5 menentang pasukan Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.