fb fb fb fb fb

Skuad B-23 terbaik ke AFF Indonesia

Skuad bola sepak B-23 di KLIA sebelum berlepas ke Indonesia/foto Bernama

SEPANG, 13 Julai - Ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) Kebangsaan, Nafuzi Zain menyifatkan senarai 23 pemain yang dipilih ke Kejohanan AFF B-23 2025 di Indonesia sebagai antara yang terbaik ketika ini, walaupun beberapa tonggak utama terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Selepas menjalani kem latihan pusat selama hampir dua minggu, Nafuzi mengesahkan pasukan yang dibentuk merupakan kombinasi pemain terbaik yang terdiri daripada majoriti daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

“Tahniah kepada 23 pemain yang terpilih. Dengan situasi semasa pemain cedera, ada yang tidak dipanggil, saya rasa ini adalah yang terbaik untuk kita ke AFF kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagi Nafuzi, perlawanan pertama menentang Filipina adalah misi wajib menang dan dianggap sebagai ‘turning point’ kempen kali ini.

“Kemenangan ke atas Filipina tak jamin apa-apa lagi, tapi ia beri satu kaki ke depan. Itu perlawanan paling penting. Kita fokus satu demi satu, bukan terus fikir perlawanan lain.”

Mengulas tentang persiapan, Nafuzi mengakui tempoh latihan singkat menjadi cabaran besar, namun gembira dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya.

“Dalam masa 12 hari ini, saya nampak perkembangan yang positif. Pemain mula faham cara permainan yang saya mahukan. Memang belum sempurna, tapi ia permulaan yang baik. Kita perlukan pasukan yang kukuh untuk pergi jauh.”

Nafuzi turut mengulas tekanan sebagai ketua jurulatih dalam perlawanan pertamanya di peringkat kebangsaan.

“Memang berbeza dengan kelab. Ini pengalaman baharu, tapi saya sangat seronok bekerja dengan pemain-pemain ini. Mereka beri komitmen tinggi, itu yang penting. Sekarang tinggal bagaimana kita realisasikan perancangan atas padang.”

Kejohanan AFF B-23 kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit, terutamanya antara Malaysia dan Indonesia yang sering mencuri tumpuan dalam saingan serantau.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei. Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei 18 Julai dan aksi dijangka panas menentang Indonesia pada 21 Julai di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

AZRUL FAIZAL JUSOH