fb fb fb fb fb

PM setuju Sarawak 'co-host' Sukan SEA 2027

Anwar Ibrahim

KUCHING, 24 Ogos- Kerajaan bersetuju untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 secara bersama atau 'co-host' dengan Sarawak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau percaya Sarawak bersedia untuk menganjurkan sukan berkelas antarabangsa berikutan kejayaan negeri itu sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 edisi ke-21.

"Dengan keupayaan Sarawak menganjur sukan di antara yang terbaik yang pernah kita adakan, saya bagi pihak Kerajaan Malaysia bersetuju untuk Sarawak bersama dengan Kerajaan Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027," katanya semasa berucap di Majlis Penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini malam ini.

Bagaimanapun Anwar berkata perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu depan.

Sebelum ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg beberapa kali menyatakan kesediaan negeri itu menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Perdana Menteri turut memuji pencapaian atlet sepanjang temasya berlangsung yang mencatatkan rekod baharu kebangsaan dan SUKMA.

"Pada SUKMA kali ini, tujuh rekod kebangsaan dipecahkan, 21 rekod SUKMA dipecahkan. Luar biasa semangatnya," kata Anwar sambil mengumumkan Sarawak sebagai juara SUKMA 2024 yang berjaya meraih 76 pingat emas, 54 pingat perak dan 69 pingat gangsa.

Sementara itu, atlet renang dari Selangor, Andrew Goh dan atlet menembak dari Negeri Sembilan, Gan Chen Jie dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita SUKMA 2024.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah adalah antara yang hadir di Majlis Penutupan SUKMA 2024 malam ini.

SITI AISHAH MD ISA