(FOTO FAIL/ FOTO BERNAMA)
KUALA NERUS, 5 Ogos - Rekod cemerlang di tempat sendiri musim ini tidak menjadikan Terengganu FC (TFC) sebagai pasukan pilihan menjelang aksi separuh akhir Piala FA bertemu Selangor FC, malam esok.
Jurulatihnya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang walaupun TFC belum pernah tewas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan tujuh kemenangan dan dua kali seri.
Menurut pengendali berusia 44 tahun itu, Selangor merupakan pasukan yang serba lengkap di semua posisi serta pemain berkualiti diketuai gandingan penyerang, Herlison Caion dan Henrique Hyuri.
TFC juga akan mempertaruhkan barisan terkuat dengan hampir kesemua pemain utama kembali daripada senarai kecederaan dan masalah kesihatan.
(Foto fail/ Foto BERNAMA)
"Kita tengok dari segi prestasi Selangor bagi saya tahun ini adalah lagi baik pada musim ini berbanding sebelum-sebelum ini walaupun keputusan Selangor tewas. Tetapi dari segi prestasi, dari segi peluang untuk menjaringkan gol, saya rasa (ia) pasukan yang baik lah, bukan jaminan bagi kita untuk menang. Yang penting persediaan kita dengan Selangor itu yang penting," menurut Nafuzi.
Bagi penyerang import TFC, Kipre Tchetche, beliau berazam untuk membawa skuad penyu mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.
Ia bagi menebus kekecewaan beliau yang gagal membantu skuad penyu mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan Piala FA musim 2019 setelah tewas 1-4 kepada Pahang.