fb fb fb fb fb

Scotland terajui kumpulan kelayakan Piala Dunia, Belanda hampir sahkan tiket

Pemain tengah Scotland, Scott McTominay (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Belarus, Vadim Pigas pada perlawanan kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Hampden Park/ AFP

PARIS, 13 Oktober – Scotland melonjak ke tangga teratas kumpulan kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Belarus 2-1 dalam perlawanan tegang di Stadium Hampden Park, manakala Belanda semakin hampir mengesahkan tempat ke kejohanan utama itu selepas mencatat kemenangan selesa ke atas Finland.

Skuad bimbingan Steve Clarke kini mendahului Kumpulan C dengan kelebihan tiga mata mengatasi Denmark, yang berpeluang merampas semula kedudukan teratas apabila menentang Greece di laman sendiri.

“Kami tahu setiap perlawanan selepas ini amat penting. Walaupun kutipan mata kami baik, semua pemain sedar kami perlu tampil lebih baik,” kata pemain tengah, Scott McTominay kepada BBC Scotland.

Che Adams membuka jaringan seawal minit ke-15, namun selepas beberapa keputusan kontroversi menerusi semakan VAR termasuk dua insiden penalti yang ditolak, Scotland akhirnya mengesahkan kemenangan lewat menerusi sepakan kaki kiri McTominay enam minit sebelum tamat.

Belarus merapatkan jurang pada masa kecederaan melalui jaringan Hleb Kuchko, tetapi sudah terlambat untuk menghalang kemenangan tuan rumah yang disambut dengan sorakan bercampur rungutan penyokong sendiri.

Dengan 10 mata dikumpul, Scotland kini sekurang-kurangny menjamin tempat ke pusingan play-off sekiranya Greece, yang berada di tempat ketiga dengan tiga mata, tewas kepada Denmark di Copenhagen.

Sementara itu, di Amsterdam, Belanda memperkukuh kedudukan di puncak Kumpulan G dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Finland hasil jaringan Donyell Malen, Virgil van Dijk, Memphis Depay dan Cody Gakpo di Johan Cruijff ArenA.

Poland berpeluang mengurangkan jurang kepada tiga mata apabila menentang Lithuania lewat Ahad.

Dalam keputusan lain, Kepulauan Faroe meneruskan prestasi cemerlang dalam Kumpulan L dengan mengejutkan Republik Czech 2-1 di Torshavn hasil jaringan kemenangan Martin Agnarsson pada minit ke-81.

Kemenangan itu meletakkan Kepulauan Faroe hanya satu mata di belakang Czech yang menghuni tangga kedua, manakala Croatia berpeluang membuka jurang apabila berdepan Gibraltar.

Bagi Kumpulan H, Cyprus membuka tirai aksi Ahad dengan kemenangan 4-0 ke atas San Marino, sementara Romania dijadual menentang Austria kemudian. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN