fb fb fb fb fb

Gol Kudus cetus kegembiraan, Ghana sah ke Piala Dunia 2026

Pemain Ghana, Mohammed Kudus/ AFP

ACCRA, 13 Oktober – Ghana mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas Mohammed Kudus menjaringkan gol kemenangan pada awal babak kedua, sekali gus menewaskan Comoros 1-0 dalam aksi kelayakan terakhir Kumpulan I di Stadium Accra, pada Ahad.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-47 apabila Kudus menolak masuk hantaran rendah daripada Thomas Partey di kawasan kotak penalti, mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Black Stars yang membanjiri stadium.

Kemenangan itu memastikan Ghana menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas dengan 25 mata, diikuti Madagascar (19) dan Mali (18).

Malah, Ghana tetap akan layak walaupun tewas, selepas Madagascar tumbang 1-4 kepada Mali dalam perlawanan yang berlangsung serentak di Bamako.

Kejayaan ini menjadikan Ghana pasukan Afrika kelima menempah tiket ke Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, selepas Algeria, Mesir, Maghribi dan Tunisia.

Ghana, yang pernah layak ke empat edisi sebelum ini, mencapai pencapaian terbaiknya pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Uruguay menerusi sepakan penalti.

Dalam satu lagi aksi kumpulan, Republik Afrika Tengah menewaskan Chad 3-2 untuk menamatkan kempen kelayakan dengan kemenangan bergaya, sementara Chad kekal tanpa kemenangan dengan hanya satu mata daripada 10 perlawanan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN