LOS ANGELES, 16 Disember - Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler dipilih sebagai Pemain Terbaik Jelajah PGA untuk musim keempat berturut-turut, susulan kempen cemerlang yang merangkumi dua kemenangan kejohanan utama.
Scheffler yang memenangi enam gelaran pada 2025 menjadi pemain kedua selepas Tiger Woods yang menerima anugerah tersebut dalam empat atau lebih musim berturut-turut.
"Tahap kejayaan konsisten Scheffler benar-benar luar biasa ketika dia terus mengejar sejarah di Jelajah PGA, dan kami teruja untuk melihat apa yang akan dipersembahkan pada tahun 2026," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah PGA, Brian Rolapp.
Scheffler, 29 tahun memenangi kejohanan utama ketiganya dengan meraih kemenangan menerusi lima pukulan pada Kejohanan PGA di Quail Hollow pada Mei.
Beliau menambah kejohanan utama keempatnya pada Kejohanan Terbuka British di Royal Portrush pada Julai.
Sementara itu pemain Afrika Selatan, Aldrich Potgieter dinamakan sebagai Rookie Terbaik Jelajah PGA.
Potgieter, 21 tahun merupakan salah seorang daripada lima pemain rookie yang mencatat kemenangan pada jelajah itu pada tahun 2025 dan satu-satunya yang layak ke Playoff FedExCup. -AFP