fb fb fb fb fb

Kos sebenar Olimpik, Paralimpik Paris 2024 jauh lebih rendah

Foto REUTERS

PARIS, 16 Disember - Kos bersih bagi penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas Paris 2024 telah disemak semula, menyaksikan penurunan kepada 2.8 bilion euro (AS$3.3 bilion).

Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding 6.6 bilion euro yang diumumkan oleh badan audit Perancis pada September lalu.

"Dengan mengambil kira beberapa manfaat, dimensi iklim dan nilai warisan yang setakat ini masih lagi diukur, kos penganjuran temasya itu berkurangan dengan ketara. Ia akan berkurang lebih separuh bawah 3 bilion euro," menurut Suruhanjaya Tinggi Perancangan (HCP) dalam satu nota ringkasan.

Menurut HCP, kos bersih adalah sebanyak 2.76 bilion euro, bahkan boleh berkurangan kepada 1.5 bilion euro, iaitu pengurangan lebih daripada empat kali ganda apabila andaian yang kurang konservatif diambil kira.

Badan berkenaan menjalankan analisis kos-faedah terhadap kos penganjuran temasya sukan berkenaan yang merangkumi semua kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar ke atas Perancis, jelas nota tersebut.

Kajian itu dijalankan oleh Pusat Penyelidikan bagi Kajian dan Pemerhatian Keadaan Hidup (Credoc) dan diselia oleh sebuah lembaga saintifik.

HCP menyatakan bahawa infrastruktur yang dibina akan memberikan manfaat jangka panjang.

"Bawah andaian tertentu yang boleh diperhalus dari semasa ke semasa, nilai warisan infrastruktur tersebut akan mencecah hampir 3 bilion euro," kata badan itu.

Penciptaan pekerjaan merupakan satu lagi faktor penting dalam mengurangkan jumlah kos, dengan nilainya kepada masyarakat dianggarkan sebanyak 200 juta euro.

Bonus kepada pekerja menghasilkan manfaat bersih sekitar 500 juta euro, manakala peningkatan penyertaan dalam sukan serta manfaat kesihatan yang berkaitan dianggarkan bernilai 250 juta euro.

HCP turut menyatakan, kesejahteraan yang dinikmati oleh penonton Perancis boleh dinilai pada 300 juta euro.

"Ini merupakan anggaran pada satu titik masa. Beberapa manfaat ini mungkin akan direalisasikan atau meningkat dari semasa ke semasa," kata HCP. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK