JOHOR BAHRU, 18 Jun- Dua pemain legenda Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Safiq Rahim dan Farizal Marlias mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu selepas beberapa tahun menyertai skuad Harimau Selatan.
Perpisahan kedua-dua pemain itu diumumkan menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook rasmi JDT, yang mengiktiraf sumbangan, kepimpinan serta pencapaian mereka dalam membantu kelab itu menjadi kuasa besar bola sepak di Malaysia dan rantau ini.
Safiq, 37, menyertai JDT pada 2013 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab itu termasuk mengetuai pasukan merangkul kejuaraan berprestij Piala AFC 2015 iaitu kejayaan pertama kelab dari Asia Timur dalam sejarah kejohanan berkenaan.
Sepanjang 270 penampilan bersama JDT, pemain tengah itu menjaringkan 59 gol dan melakukan 68 bantuan gol serta menyumbang kepada pelbagai kejuaraan termasuk sembilan gelaran Liga Super, tujuh Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, empat Piala FA dan satu Piala AFC.
Farizal, 38, yang menyarung jersi JDT sejak 2015 pula mengukuhkan reputasinya sebagai antara penjaga gol terbaik negara dengan mencatat 102 perlawanan tanpa bolos daripada 222 penampilan.
Sepanjang karier bersama JDT, Farizal memenangi 10 kejuaraan liga, sembilan Piala Sumbangsih, lima Piala Malaysia, empat Piala FA dan Piala AFC 2015.
Kedua-dua anak jati Johor itu dianggap sebagai legenda, bukan sahaja kerana kejayaan mereka di atas padang, tetapi juga kepimpinan serta pengaruh besar yang dibawa dalam kelab berkenaan.
Semalam, JDT turut mengesahkan pelepasan 11 pemain menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025-2026 menerusi hantaran di media sosial.
Selain Farizal dan Safiq, JDT turut melepaskan penjaga gol Izham Tarmizi dan tujuh pemain import iaitu Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Roque Mesa dan Anselmo de Moraes, sebagai sebahagian daripada usaha menyegarkan semula pasukan menjelang musim baharu.
Pemain terakhir yang meninggalkan JDT ialah Ramadhan Saifullah, yang melengkapkan perpindahan secara tetap ke Kuching City FC, sekali gus menamatkan penglibatannya bersama Harimau Selatan. -BERNAMA