fb fb fb fb fb

Romero mungkin digantung lebih lama

Cristian Romero dilayangkan kad merah oleh pengadil, John Brooks ketika beraksi menentang Liverpool/ Foto REUTERS

LONDON, 25 Disember - Cristian Romero berdepan kemungkinan penggantungan lebih lama selepas didakwa oleh badan induk bola sepak England gagal meninggalkan padang, serta bertindak agresif apabila dilayangkan kad merah ketika menentang Liverpool, Sabtu lalu.

Kapten Tottenham Hotspur itu menerima kad kuning kedua gara-gara tindakannya menendang pemain pertahanan The Reds, Ibrahima Konate, sebelum diarah keluar padang oleh pengadil dalam perlawanan yang berkesudahan dengan Spurs tewas 1-2.

Penyingkiran Romero menyebabkan Spurs bermain dengan sembilan pemain, selepas Xavi Simons terlebih dahulu dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran serius pada separuh masa pertama.

Pertahanan tengah Argentina itu pada mulanya dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil selepas mengadu ditolak oleh Hugo Ekitike ketika penyerang tersebut menjaringkan gol kedua Liverpool.

Kad merah Romero bermakna dia akan digantung satu perlawanan dan bakal terlepas aksi menentang Crystal Palace pada Ahad.

Kini dia berdepan hukuman tambahan dan kemungkinan penggantungan lebih lama jika didapati bersalah.

Romero diberi tempoh hingga 2 Januari untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan.

"Romero didakwa telah bertindak tidak wajar dengan gagal meninggalkan padang permainan dengan segera dan/atau berkelakuan secara konfrontasi dan/atau agresif terhadap pengadil perlawanan selepas dibuang padang pada minit ke-93," menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak England (FA).

Sementara itu Ketua Jurulatih Tottenham, Thomas Frank mendakwa pengadil terbabit, John Brooks gagal menjalankan tugasnya kerana melayangkan kad merah kepada Romero.

"Terdapat kesilapan besar oleh John di padang. Dua tangan di belakang oleh Ekitike. Saya tidak faham bagaimana dia tidak nampak.

"Nasib baik kita ada VAR yang sepatutnya membantu apabila diperlukan, tetapi ia tidak berlaku. Itu adalah kesilapan kedua," kata Frank.

Kekalahan itu menyebabkan Spurs menjunam ke tangga 14 Liga Perdana Inggeris, sekali gus menambah tekanan ke atas Frank yang mengambil alih jawatan pengurus selepas Ange Postecoglou dipecat, Jun lalu.

Spurs akan bertandang ke Brentford pada 1 Januari, sebelum menerima kunjungan Sunderland pada 4 Januari dan berkunjung ke Bournemouth, tiga hari kemudian. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK