MAGHRIBI, 25 Disember - Juara bertahan, Ivory Coast menewaskan Mozambique 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Rabu.
Dalam aksi berlangsung di Maghribi itu, skuad Ivory Coast mensia-siakan beberapa peluang keemasan, namun jaringan Amad Diallo pada awal separuh masa kedua sudah memadai untuk menewaskan Mozambique.
Ivory Coast berdepan kesukaran untuk menembusi benteng lawan pada separuh masa pertama yang berlangsung sengit, sebelum menguasai permainan sepenuhnya selepas rehat tanpa berjaya memanfaatkan deretan peluang yang dicipta.
Diallo menyudahkan peluang dengan tenang pada minit ke-49 untuk memastikan tiga mata penuh dalam keadaan hujan, namun keputusan itu sepatutnya lebih besar sekiranya pemain Ivory Coast lebih garang di hadapan gawang.
Wilfried Zaha, yang tampil dalam aksi antarabangsa pertamanya selepas lebih dua tahun susulan panggilan semula mengejut bagi kejohanan itu, mensia-siakan beberapa peluang terbaik, manakala Franck Kessie turut gagal menyudahkan dua percubaan jarak dekat yang berjaya diselamatkan penjaga gol Mozambique, Ernan.
Pemain gantian Ivory Coast, Vakoun Bayo, pula terlepas jaringan mudah menerusi tandukan di hadapan gawang. Pada minit ke-89, satu lagi percubaan Bayo berjaya dikeluarkan di atas garisan gol ketika Ernan berada di luar posisi.
Mozambique pula mencatat sejarah apabila memasukkan pemain sayap, Dominguez, 42 sebagai pemain gantian separuh masa kedua, menjadikannya pemain padang tertua pernah beraksi dalam sejarah kejohanan.
Mozambique masih belum mencatat sebarang kemenangan di pentas Piala Negara-Negara Afrika sejak penampilan sulung pada 1986. Ini merupakan penyertaan keenam dengan rekod empat seri dan 12 kekalahan.- REUTERS