fb fb fb fb fb

RM185,500 dana bantuan kepada persatuan sukan dan organisasi belia di Negeri Sembilan

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor/foto Bernama

SEREMBAN, 24 Julai – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM185,500 sebagai dana bantuan kepada Persatuan Sukan dan Organisasi Belia di negeri ini bagi memperkasa serta memperkukuh peranan pertubuhan berkenaan sebagai pemacu utama pembangunan modal insan yang holistik.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor, berkata kerajaan negeri turut menyasarkan untuk menyantuni antara 150 hingga 200 persatuan belia akar umbi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Langkah ini bertujuan mengangkat persatuan belia tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Buat pertama kalinya, kali ini kita menjemput 50 persatuan belia dari seluruh Negeri Sembilan. Persatuan-persatuan ini bukanlah persatuan di peringkat negeri atau kebangsaan, tetapi merupakan persatuan yang aktif di peringkat akar umbi, di kampung-kampung dan kawasan Dewan Undangan Negeri.

"Semua nama persatuan yang dijemput telah diterima melalui wakil-wakil rakyat kita, yang mengiktiraf bahawa inilah persatuan yang benar-benar aktif di kawasan mereka.

"Harapan Pak Mus, dengan suntikan semangat dan sokongan yang diberikan hari ini, mereka akan terus bergerak dengan lebih tersusun, lebih mantap, dan lebih hebat lagi pada masa akan datang." katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyampaian Dana Bantuan Pentadbiran Secara One-Off kepada Persatuan Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah dan Kelab-Kelab Belia Negeri Sembilan yang berlangsung di Ballroom, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Antara dana yang disalurkan termasuk RM20,000 kepada Majlis Belia Negeri, RM2,000 kepada setiap Persatuan Sukan Negeri dan Majlis Belia Daerah, serta RM1,500 kepada setiap kelab belia yang berdaftar di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa mana-mana persatuan yang gagal mematuhi garis panduan seperti tidak mengemukakan laporan atau gagal merancang bagi Temasya Sukan Malaysia XXII (22) yang akan berlangsung di Selangor pada tahun hadapan, akan dikenakan tindakan, termasuk pengambilalihan tanggungjawab oleh agensi atau kelab penyelamat yang lebih berkelayakan.

Tambah beliau, kepimpinan persatuan diseru agar lebih proaktif, berintegriti dan cekap dalam pengurusan organisasi masing-masing.

AZRUL FAIZAL JUSOH