LONDON, 24 Julai - Alexander Isak dilaporkan telah memaklumkan kepada Newcastle bahawa dia ingin meneroka peluang baharu dengan berpindah keluar.
Ia selepas kelab itu mengesahkan dia tidak akan menyertai skuad yang berlepas ke Asia bagi perlawanan persahabatan pramusim.
Akhbar Daily Mail melaporkan pada Khamis bahawa pihak pengurusan Newcastle “sedar akan hasrat Isak untuk mempertimbangkan pilihannya pada jendela perpindahan musim panas ini”.
Laporan itu muncul hanya beberapa jam selepas kelab Liga Perdana Inggeris yang dimiliki oleh Arab Saudi itu mengesahkan bahawa penyerang berusia 25 tahun tersebut tidak akan menyertai jelajah pramusim ke Asia “disebabkan kecederaan ringan pada paha”.
Dengan rekod 23 gol dalam saingan Liga Perdana musim lalu, Isak kini menjadi antara pemain paling dikehendaki di pasaran selain turut dikaitkan dengan juara England, Liverpool.
The Mail juga melaporkan Liverpool masih berminat untuk mendapatkan pemain antarabangsa Sweden itu, walaupun mereka baru sahaja mengumumkan ketibaan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike, pada Rabu.
Ketibaan Ekitike dengan yuran awal dilaporkan sebanyak £69 juta (AS$93 juta), menjadikan jumlah perbelanjaan Liverpool dalam jendela perpindahan semasa melebihi £250 juta.
Isak masih mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya bersama Newcastle, kelab yang disertainya pada 2022 dari Sepanyol, Real Sociedad.
Dia diketepikan daripada kekalahan 4-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Celtic pada Sabtu.
Namun, pengurus Newcastle, Eddie Howe, “yakin” Isak akan kekal di St James’ Park dan menjangkakan pemain itu akan menyertai jelajah Asia.
“Adalah sukar bagi saya untuk memberikan jaminan 100 peratus mengenai mana-mana pemain.
“Saya tidak akan duduk di sini dan melakukannya kerana ini adalah dunia bola sepak, dan kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku.
“Apa yang boleh saya katakan ialah Alex gembira di Newcastle. Dia menyayangi rakan sepasukan, kakitangan, dan pasukan.” katanya.
Newcastle akan menentang Arsenal di Singapura pada Ahad sebelum terbang ke Korea Selatan, di mana mereka akan berdepan pasukan bintang K League dan Tottenham.-AFP