KUALA LUMPUR, 4 September- Bersempena temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku rakan kongsi rasmi Para SUKMA akan menghantar 25 buah bas untuk kegunaan para atlet dan pegawai sepanjang berlangsungnya temasya sukan tersebut.
Menerusi satu kenyataan, Rapid Bus memaklumkan kesemua 25 buah bas 'single deck' itu dihantar menggunakan kapal laut yang akan berlepas ke Kuching dari Jeti Awal Idaman, Pulau Indah di Pelabuhan Klang pada Sabtu ini dan dijangka tiba pada 13 September 2024.
"Bas-bas yang dihantar mempunyai ciri akses universal iaitu mesra golongan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai ruang luas bagi memudahkan pergerakan atlet-atlet Para SUKMA yang berkerusi roda.
"Disamping itu, bas-bas tersebut juga mempunyai ruang dalaman yang luas, yang dapat memuatkan lebih ramai penumpang,"menurut kenyataan tersebut.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, "Jalinan kerjasama antara Rapid Bus dan kerajaan negeri Sarawak ini menunjukkan komitmen Rapid Bus dalam menghargai sumbangan komuniti OKU dalam pembangunan negara termasuklah dalam bidang sukan."
Seramai 44 kakitangan Rapid Bus yang terdiri dari 30 kapten bas serta 14 kakitangan sokongan akan tiba di Kuching secara berperingkat pada 13 dan 15 September 2024. Para kapten bas akan diberi latihan terlebih dahulu mengenai laluan bas di sana.
Temasya sukan Para SUKMA Sarawak akan berlangsung dari 20 hingga 28 September 2024.