fb fb fb fb fb

Rangers, Dinamo Zagreb layak ke Liga Juara-Juara

(FOTO AFP)

MANCHESTER, 25 Ogos- Kemenangan pasukan Rangers dan Dinamo Zagreb melayakkan mereka menyertai senarai kumpulan Liga Juara-Juara selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi awal pagi tadi.

Rangers yang kembali ke Liga Juara-Juara selepas 12 tahun, menang 1-0 bertemu PSV Eindhoven manakala Dinamo Zagreb mencatatkan kemenangan besar, 4-1 mengatasi wakil Norway, Bodo/Glimt sehingga ke babak masa tambahan.

Antonio Colak meledak gol penting buat skuad dari Glasgow itu, menerusi hantaran dari rakan sepasukan Andre Ramalho pada minit ke-60.

Musim lalu, Rangers mencatatkan kemaraan ke pusingan akhir Liga Europa namun tewas ditangan Eintracht Frankfurt dan kini kembali ke kumpulan Liga Juara-Juara sekali gus dapat menebus kekalahan terdahulu.

"Sukar untuk menggambarkannya dalam perkataan, ia persembahan berpasukan yang hebat. Ia perjalanan menakjubkan kami lalui musim ini dan saya sangat bangga dengan semua pemain," kata Colak.

"Saya menangis di padang, ia waktu yang amat gembira. Ketika kecil saya sentiasa mahu bersaing pada tahap ini dan untuk berada di sini, ia sesuatu yang menakjubkan," tambahnya.

Sementara itu, Dinamo Zagreb yang turun dengan misi mesti menang selepas ketinggalan agregat 0-1, memanfaatkan perlawanan sebaik mungkin berdepan Bodo/Glimt dengan skor jaringan 4-1.

Mislav Orsic meledak buat Dinamo pada minit ke-4 dan kemudian sepakan baik Bruno Petkovic melebarkan kelebihan mereka dan 2-1 secara agregat.

Namun, juara Norway itu bangkit menerusi jaringan penyamaan Albert Gronbaek pada minit ke-70.

Pada awal babak kedua tambahan masa, Dinamo mengembalikan kelebihan mereka hasil jaringan Josip Drmic dan kemudian mengesahkan kemenangan hasil gol Petar Bockaj. - REUTERS


(FOTO AFP)

Media Baharu