ALPES-DE-HAUTE, 22 Januari- Pemandu Perancis, Sebastien Ogier semakin hampir mencatat rekod menjuarai perlumbaan Rali Monte Carlo buat kali ke-9 selepas mengatasi rakan sepasukan di Toyota, Kalle Rovanpera dengan kelebihan 16 saat menjelang peringkat akhir empat pusingan, awal pagi esok.
Ogier yang merupakan juara dunia lapan kali, memandu secara berhati-hati dalam saingan yang membabitkan laluan bergunung di Monte Carlo itu.
Situasi tersebut membuka ruang buat juara bertahan, Rovanpera merapatkan jurang masa dari 36 saat yang dicatat semalam.
Pemandu Finland itu mula memberi tekanan dengan memenangi dua daripada tiga perlumbaan di peringkat pagi.
Manakala pemandu Belgium, Thierry Neuville di tempat ketiga buat Hyundai dengan 32 saat di belakang selepas menawan dua perlumbaan di sebelah petang.
Elfyn Evans menjadi pemandu ketiga pasukan Toyota melengkapkan kelompok empat teratas.
Ogier sebelum ini berkongsi rekod lapan kejuaraan di Monte Carlo bersama juara dunia sembilan kali, Sebastian Loeb yang tidak beraksi kali ini.
(Pemandu Perancis, Sebastien Ogier/REUTERS)