fb fb fb fb fb

Ragbi wanita negara raih tempat ketiga di Kejohanan Asia B18

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 29 September- Skuad ragbi 7 sebelah wanita negara menamatkan kempen Kejohanan Ragbi Asia Bawah 18 Tahun dengan meraih tempat ketiga terbaik selepas menewaskan India 12-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga, petang tadi.

Jurulatih skuad bawah 18 wanita, Saiful Rizal Zainol berpuas hati kerana sasaran kedudukan tiga terbaik berjaya dicapai meskipun menghadapi kekangan masa menghimpunkan pemain.

"Kebanyakan pemain masih bersekolah dan ada yang sedang menduduki peperiksaan. Kami memahami situasi mereka dan menyesuaikan jadual latihan mengikut keperluan, namun mereka tetap bersemangat untuk bersama-sama berjuang di kejohanan ini," katanya.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga, pasukan muda negara berusaha keras sebelum berjaya mengutip mata melalui try dan conversion.

Kejuaraan kategori wanita disandang oleh Hong Kong yang menewaskan Thailand di final.

Sementara itu, pasukan ragbi 7 sebelah lelaki bawah 18 negara terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat terbaik setelah tewas 14-17 kepada Sri Lanka dalam perebutan tempat ketiga.

"Pasukan telah memberikan yang terbaik, tetapi rezeki tidak berpihak kepada kami. Saya bangga dengan usaha mereka yang konsisten di setiap perlawanan," kata Mohd Izwan Abu Bakar, jurulatih skuad lelaki.

Kejuaraan kategori lelaki dimenangi Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menewaskan Hong Kong, 43-0.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Md Shah.

SITI AISHAH MD ISA