fb fb fb fb fb

ACL Elite: JDT sedia menentang Shanghai Shenhua esok

Sidang media sempena pra perlawanan ACL Elite bagi pasukan JDT menentang Shanghai Shenhua/Foto FB JDT

ISKANDAR PUTERI, 30 September – Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menjangkakan perlawanan yang mencabar dan menarik ketika menentang Shanghai Shenhua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio, berkata Harimau Selatan perlu fokus dan bermain secara kompetitif kerana Shanghai Shenhua merupakan pasukan yang mantap dengan barisan pemain berkualiti.

“Shanghai Shenhua adalah pasukan yang bagus, dengan pemain yang bagus. Mereka suka menguasai bola, tetapi bagi kami, yang penting adalah fokus kepada potensi pemain sendiri dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Jordi Amat, berkata pasukannya perlu memberikan permainan yang baik dan membentuk pertahanan yang kukuh untuk menewaskan pasukan dari China itu.

“Sangat istimewa untuk kembali bermain di Johor, di laman sendiri, di hadapan penyokong. Kami perlu bermain dengan baik untuk mengalahkan Shanghai kerana mereka adalah pasukan yang sangat kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy, turut memuji pemain JDT, Ariff Aiman, serta Natxo Insa, yang mampu memberikan prestasi cemerlang di bahagian tengah walaupun berusia 38 tahun.

"Bagi kami, apa yang penting adalah untuk pulih terlebih dahulu, kemudian barulah sesi latihan. Saya faham perlawanan esok akan sukar kerana saya telah melihat perlawanan JDT menentang Shanghai Port, dan saya berada di stadium semasa perlawanan itu berlangsung.

"Jadi, saya tahu mereka adalah pasukan yang baik. Kami telah membuat persediaan khas untuk perlawanan esok kerana dalam perlawanan terakhir kejuaraan lalu, mereka menggunakan hampir keseluruhan pemain daripada pasukan kedua," katanya.

Perlawanan JDT menentang Shanghai Shenhua akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada pukul 8 malam.

GRACE AISYAH KEDAYAN