fb fb fb fb fb

Putera kuasai perlumbaan menerusi pusingan kedua

SEPANG, 20 Jun - Pelumba muda pasukan R Engineering HMRT, Putera Adam semakin sukar digugat selepas cemerlang menguasai pusingan kedua perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam Kejohanan Malaysia Championship Series (MCS) 2022.

Menggunakan jentera Honda Civic, dia menamatkan perlumbaan pertama kelas SP1 di tempat kedua sebelum cemerlang menguasai perlumbaan kedua.

Putera melintasi garisan penamat 12 saat di depan pelumba Jepun, Ken Urata yang memenangi perlumbaan pertama sebelum itu.

Kejayaan tersebut meletakkan pelumba berusia 19 tahun itu gah memimpin kedudukan keseluruhan pelumba.

(Putera Adam)

"Pada perlumbaan kedua Putera dapat mulakan dengan sangat bagus. Jadi keseluruhan perlumbaan cuma pastikan untuk terus kekalkannya. Kelajuan yang baik pada perlumbaan kedua, dan syukur boleh menang," kata Putera di sini.

Sementara itu, perlumbaan pertama dan kedua kategori Touring Production didominasi Jonathan Xie yang memandu jentera Honda Civic.

Dalam saingan kelas SP2 pula dikuasai pelumba pasukan R Engineering HMRT, Avila Bahar yang menggunakan jentera Honda Jazz.

Perlumbaan pusingan ketiga MCS 2022 akan berlangsung di litar sama pada 23 dan 24 Julai.

Media Baharu