LONDON, 30 April- Paris Saint-Germain (PSG) membawa kelebihan tipis ke perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Arsenal 1-0 dalam perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Jaringan tunggal Ousmane Dembele pada minit ke-4 hasil gerakan berpasukan yang bertenaga dan penuh disiplin di bawah kendalian Luis Enrique.
Walaupun Arsenal mendominasi sebahagian besar permainan dengan tekanan berterusan, skuad Les Parisiens kekal tenang dengan barisan pertahanan yang mantap dan penjaga gol Gianluigi Donnarumma tampil cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.
"Sebelas pemain utama dan pemain gantian telah bekerja luar biasa. Kami perlukan penjaga gol yang bertaraf titan dan hari ini semua pemain menunjukkan mentaliti yang betul," ujar Luis Enrique yang mengambil alih PSG pada 2023.
PSG kini berada di landasan untuk mara ke pusingan akhir buat kali kedua dalam sejarah mereka, selepas rekod buruk dalam tiga penampilan separuh akhir dua pusingan sebelum ini, tewas dalam keenam-enam perlawanan.
Kemenangan itu juga merupakan yang pertama buat PSG ke atas Arsenal dalam enam pertemuan.
Meskipun begitu, Enrique menegaskan pasukannya tidak boleh leka apabila menerima kunjungan Arsenal di Parc des Princes minggu hadapan.
PSG, yang sudah menjuarai Ligue 1 musim ini, akan cuba mengekalkan momentum dan rekod cemerlang apabila menang 18 daripada 19 perlawanan di peringkat kalah mati.- REUTERS