SYDNEY, 3 Oktober- Pemain bola sepak paling banyak beraksi untuk skuad kebangsaan Australia, Clare Polkinghorne, mengumumkan persaraannya daripada kancah antarabangsa pada Khamis selepas menempuhi karier yang menjangkau hampir dua dekad dan lima Piala Dunia.
Pertahanan Matildas dan bekas kapten pasukan itu akan menamatkan kariernya pada hujung tahun, dengan perlawanan terakhirnya dijadualkan menentang Taiwan pada bulan Disember.
Setakat ini, Polkinghorne telah membuat sebanyak 167 penampilan, merangkumi lima Piala Dunia, lima Piala Asia dan tiga Sukan Olimpik, serta menjaringkan 16 gol.
“Dari Piala Dunia Wanita FIFA hingga Sukan Olimpik dan Piala Asia, memakai jersi Australia selama lebih 18 tahun adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata pemain berusia 35 tahun itu.
"Satu keistimewaan yang akan saya hargai dan lebih daripada yang saya impikan ketika berusia enam tahun bermain di padang bola sepak di Brisbane."
Ketua Bola Sepak Australia, James Johnson, berkata Polkinghorne, yang membuat penampilan sulung pada tahun 2006, akan dikenang sebagai salah seorang ahli sukan wanita terhebat negara.
"Sebagai pemain dan individu yang sangat merendah diri, Clare adalah lambang pencapai senyap," katanya.
“Legasi beliau adalah dalam usahanya untuk meninggalkan jersi itu dalam keadaan yang lebih baik daripada ketika dia mula-mula memakainya dan kesannya jelas dalam kemajuan luar biasa yang telah dicetuskan oleh Matildas di dalam dan di luar padang. Ini akan menjadi kenangan abadi beliau dalam sukan ini."
Polkinghorne akan melengkapkan musim domestik dengan kelabnya di Sweden, Kristianstads DFF, sebelum memutuskan sama ada akan meneruskan kariernya atau tidak.-AFP