KUALA NERUS, 24 Julai - Terengganu FC menumbangkan Kuching City FC 4-1 ditempat sendiri malam tadi.
Kemenangan itu memastikan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain, mara ke peringkat separuh akhir pada 5 Ogos ini.
Suasana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak gamat dengan sorakan lebih 20,000 penyokong tuan rumah apabila Terengganu FC memperoleh jaringan pertama pada minit ke-20 menerusi tandukan Mohd Faiz Nasir yang menewaskan penjaga gol Muhd Iqbal Mohd Suhimi.
Jaringan tersebut hadir selepas beliau memanfaatkan peluang dalam kawasan kotak selepas menerima hantaran rakan sepasukan, Muhammad Azam Azmi Murad.
Namun keselesaan itu digugat pada minit ke-42 selepas gawang Terengganu FC berjaya dibolosi menerusi pemain gantian, Amir Amri Salleh yang pantas memanfaatkan kealpaan dan kesilapan barisan pertahanan tuan rumah untuk mendapatkan gol penyamaan.
Kedudukan satu sama kekal sehingga tamat babak separuh masa pertama.
Tchetche Kipre yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-66 jelas tidak menghampakan apabila pemain berjersi nombor 23 itu berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-68.
Disusuli gol ketiga menerusi serangan balas pada minit ke-78, sekali gus mengamatkan kembali gema sorakan penyokong di Stadium.
Sebelum Faisal Abdul Halim memastikan kemenangan mutlak Terengganu FC dengan gol keempat buat pasukannya menerusi rembatan leret di tengah kawasan kotak penalti yang tidak berjaya diselamatkan Mohd Iqbal.