fb fb fb fb fb

Piala AFF B-23 2025 Indonesia, skuad negara bersedia

Foto Bernama

SEPANG, 13 Julai - Pemain tengah negara, Aliff Izwan Yuslan yakin skuad B-23 kebangsaan kini bersedia sepenuhnya menjelang kempen Piala AFF B-23 2025 yang akan bermula Selasa ini di Jakarta, Indonesia.

Menurut Aliff, segala perancangan latihan yang ditetapkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain telah dipraktikkan sebaik mungkin oleh semua pemain.

“Kami sudah bersedia, kita sudah buat yang terbaik dalam latihan dan ikut strategi yang jurulatih bagi. Perlawanan persahabatan pun ada, dan bagi saya sangat positif sebab kita lawan dengan pemain Super League,” katanya.

Aliff turut menekankan aspek keserasian sebagai kekuatan utama skuad kali ini, selain menegaskan setiap perlawanan perlu dihadapi dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira pasukan lawan.

“Kita tak boleh memandang rendah pasukan lain, Indonesia, Brunei, kita kena main 100 peratus setiap permainan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, seorang lagi pemain tengah, Muhammad Abu Khalil percaya skuad kali ini mempunyai kelebihan daripada kombinasi pemain yang pernah bersama di peringkat remaja, termasuk dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi JDT.

“Ramai pemain kita dah kenal lama, jadi kali ni kita bersatu balik. Alhamdulillah walaupun masa persiapan singkat, semua bagi kerjasama yang baik,” katanya.

Abu Khalil juga melihat pengalamannya beraksi di luar negara seperti Jepun dan Thailand mampu dimanfaatkan dalam perancangan permainan pasukan negara.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Filipina dan Brunei akan memulakan aksi pertama menentang Filipina pada 15 Julai di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

AZRUL FAIZAL JUSOH