(Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak)
KUALA LUMPUR, 23 Jun- Juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur City (KL City FC) bakal menentang PSM Makassar dalam cabaran Piala AFC di Stadium Kuala Lumpur, esok.
Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak berkata, pasukannya sudah bersedia bagi mengharungi kempen ini walaupun perlu berdepan dengan dua pasukan yang sudah kerap beraksi di kejohanan itu.
Berdepan dengan Juara Piala Indonesia 2019, PSM Makassar, ini merupakan peluang terbaik untuk anak-anak buahnya membuktikan kemampuan mereka beraksi di pentas yang lebih tinggi.
"Saya yakin pemain akan memberi fokus kepada pasukan ini, bahkan kami mempunyai pemain yang terbaik,
"Meskipun kadang-kala mereka kekurangan motivasi namun saya yakin mereka akan bersemangat untuk berdepan saingan Piala AFC nanti," katanya di ibu negara.
Tambah beliau semua pemain utama The City Boys akan diturunkan malam esok kecuali J. Partiban yang dijangka dapat kembali beraksi menentang Tampines Rovers pada 30 Jun ini.
(Penyerang KL City FC, Safee Sali)
Sementara itu penyerang KL City FC, Safee Sali menuntut rakan-rakan sepasukan agar menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk melakar kemenangan bagi membuka laluan cerah ke peringkat seterusnya.
"Kami perlu menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah dan harus menang sekurang-kurangnya melayakkan diri ke peringkat seterusnya,
"Saya rasa pemain yang lain juga tahu bahawa kita akan bermain di Stadium Cheras, dan sudah pasti tidak mahu kalah di gelanggang sendiri," katanya.
Kedah Darul Aman (KDA FC) juga bakal membuka tirai saingan kumpulan bertemu Juara Liga Indonesia, Bali United di tempat lawan.