fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel sentiasa jadi keutamaan saya - Chong Wei

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Saya tidak akan menolak untuk bertanding di Sukan Komanwel, kata bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei.

Secara peribadinya Chong Wei merasakan bermain di Sukan Komanwel akan sentiasa menjadi keutamaan beliau kerana temasya itu hanya dianjurkan empat tahun sekali berbanding Kejohanan Badminton Dunia, yang berlangsung setiap tahun kecuali pada tahun penganjuran Olimpik.

“Kejohanan Dunia adalah lebih penting untuk karier, namun Sukan Komanwel lebih jauh pentingnya untuk negara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Legenda badminton negara berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan pemain profesional negara Lee Zii Jia yang menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham, yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

Malam semalam, Zii Jia menerusi video yang dikongsikan kepada media menyatakan bahawa, agak sukar untuk beliau berhadapan dengan jadual ketat yang dihadapi sejak kebelakangan ini, selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo dari 22-28 Ogos, sebagai alasan utama beliau menarik diri dari Sukan Komanwel.

Bagaimanapun pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu berkata status Zii Jia sebagai pemain persendirian sejak awal tahun ini, menjadikan lebih mudah untuk juara Kejohanan Badminton Asia 2022 itu untuk tidak menyertai Birmingham.

“Fakta bahawa beliau bukan lagi pemain pasukan kebangsaan menjadikan lebih mudah untuknya tidak bermain di Birmingham. Jika dia di pasukan kebangsaan, Sukan Komanwel tentunya menjadi keutamaan” katanya.

Sementara itu, Chong Wei berkata pemain perseorangan lelaki utama Persatuan Badminton Maysia Ng Tze Yong, tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk memikul tanggungjawab besar mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Zii Jia di Birmingham.

Oleh sebab itu beliau berharap pemain nombor 48 dunia itu akan bersedia secara mental dan menunjukkan permainan terbaiknya, pada acara yang akan berlangsung di National Exhibition Centre. - BERNAMA

Media Baharu