fb fb fb fb fb

Perenang warisan bakal perkasa skuad kebangsaan

Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Marilyn Chua, mengesahkan usaha mengesan perenang warisan sedang dilakukan

KUALA LUMPUR, 28 Jun - Usaha memperkasa pasukan renang negara sedang giat dilaksana termasuk membawa pulang beberapa perenang warisan.

Pelaksanaan pelbagai program pembangunan kini dijalankan secara menyeluruh bermula dari peringkat akar umbi hingga ke tahap elit.

Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Marilyn Chua berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk melatih dan memantau atlet negara, namun turut terbuka untuk mengesan bakat-bakat atlet warisan yang berada di luar negara.

2806 SKN PERENANG WARISAN NEGARA 1Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Akuatik Malaysia diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini - Foto BERNAMA

"Beberapa rakyat Malaysia yang menetap di luar negara telah tampil menghubungi pihak pengurusan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan ia satu perkembangan yang dianggap sangat positif.

“Singapura sudah lama memulakan usaha mencari bakat rakyat mereka di luar negara. Kami juga kini bergerak ke arah itu, terutamanya melalui kerjasama dengan Pengarah Teknikal kami, Megan, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

"Ada yang sudah disenaraikan dalam senarai awal ke temasya Sukan SEA. Malah, baru-baru ini ada pihak dari New Zealand yang menghubungi kami,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, setiap pemilihan adalah berasaskan merit dan bukan semata-mata atas dasar kewarganegaraan.

“Peraturannya sangat jelas. Jika seseorang atlet memenuhi masa kelayakan yang telah ditetapkan untuk sesuatu kejohanan, mereka akan dipilih berdasarkan merit. Bukan bermaksud jika anda rakyat Malaysia di luar negara, anda akan diterima seratus peratus.

"Anda tetap perlu capai masa kelayakan dan bersaing secara adil dengan atlet tempatan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, AGM kali ini menyaksikan Setiausaha Agung MAS, Andy Low mengekalkan jawatan apabila dilantik semula oleh Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Lima jawatan Ahli Jawatankuasa yang dipertandingkan dimenangi oleh Tasha Jane Taher Ali, Goh Kah Yo, Chee Pao Kam, Haris Lua Abdullah dan Sung Jun Hao.

Manakala, Shahidan bersama Marilyn, Anthony Ang (Naib Presiden) dan Nurul Huda Abdullah (Penolong Setiausaha) menang tanpa bertanding bagi jawatan masing-masing.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK