fb fb fb fb fb

Pemain Iran berhak bersuara -Queiroz

(FOTO AFP)

DOHA, 16 November-Pemain Iran bebas menyuarakan pendapat dan pandangan mereka sendiri, kata jurulatih Carlos Queiroz

Rakyat Iran telah turun ke jalan sejak September berikutan kematian Mahsa Amini yang berusia 22 tahun selepas penahanannya kerana didakwa melanggar kod berpakaian untuk wanita.

Pemain-pemain Iran kini menjadi tumpuan di kejohanan Piala Dunia Qatar berikutan pergolakan politik yang berlaku.

Queiroz memberitahu sidang akhbar: "Setiap orang mempunyai hak dan bebas menyuarakan pandangan masing-masing", kata jurulatih dari Portugal itu.

(Pemain-pemain Iran sedang dalam sesi latihan di Tehran/AFP)

Queiroz turut membandingkan situasi tersebut dengan pemain di England yang berlutut dalam protes antiperkauman.

"Kamu (Pemain England), sudah biasa melutut dalam permainan. Ada sesetengahnya bersetuju dan ada juga (pemain) yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Pemain Iran pun tidak terkecuali dari hal itu",kata jurulatih berusia 69 tahun itu menerusi satu video sidang akhbar.

Queiroz turut mendedahkan fokus pemainnya kini adalah untuk melakar kemenangan di piala dunia kali ini sekaligus mara ke pusingan kedua buat kali pertama selepas membuat penampilan kali keenam di kejohanan berprestij itu.

"Mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada sejarah, tetapi mereka mahu mencipta sejarah", jelas Queiroz.

Iran bakal membuka tirai kempen Piala dunia dengan menentang England, diikuti Amerika Syarikat dan Wales.

Media Baharu