KUALA LUMPUR, 16 Mac- PDRM FC berjaya menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Negeri Sembilan FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung pada minit ketujuh.
Bagaimanapun, PDRM FC kembali menghidupkan harapan selepas dihadiahkan dua sepakan penalti pada babak kedua perlawanan.
Pengadil Muhammad Munir Mohd Izam memberikan penalti pertama pada minit ke-72 selepas Aroon Kumar menjatuhkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, sebelum penalti kedua menyusul pada minit ke-86 susulan kekasaran Mohamad Hariz Kamaruddin terhadap pemain yang sama.
Penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki, tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan kedua-dua sepakan penalti sekali gus memastikan tiga mata penuh buat pasukannya.
Selepas 21 perlawanan, PDRM FC yang merupakan naib juara Piala Cabaran musim ini kini menghuni tangga kelapan Liga Super dengan 24 mata, berkongsi mata dengan Perak FC di tempat ketujuh.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC kekal di kedudukan kedua tercorot dengan hanya mengumpul 13 mata.