ISTANBUL, 11 Ogos - Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin menggesa badan induk bola sepak Eropah (UEFA) untuk menyingkirkan Israel daripada sebarang kejohanan akibat jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukannya di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Marilah kita jadikan sukan bebas daripada aparteid dan genosid. Satu bola, satu tendangan pada satu masa," kata Francesca Albanese di akaun X miliknya.
Gesaan Albanese dibuat selepas UEFA menyampaikan penghormatan terakhir kepada bekas pemain bola sepak Palestin, Suleiman al-Obeid, yang digelar sebagai "Pelé Palestin."
Al-Obeid terbunuh pada Rabu, apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan berhampiran tempat pengagihan di selatan Semenanjung Gaza, menurut Persatuan Bola Sepak Palestin.
"Sudah tiba masanya untuk menyingkirkan pembunuh daripada pertandingan, @UEFA," kata pelapor PBB itu.
Al-Obeid, 41 tahun yang dilahirkan di Gaza dan mempunyai lima orang anak, dianggap sebagai antara bintang paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Palestin.
Beliau telah beraksi dalam 24 perlawanan rasmi untuk pasukan kebangsaan dan menjaringkan dua gol.
Lebih daripada 800 atlet terbunuh di Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Okt 2023, ketika komuniti sukan terus menderita akibat pengeboman, kebuluran dan kemusnahan infrastruktur. - BERNAMA