fb fb fb fb fb

Paret-Peintre raih kemenangan pertama untuk Perancis di Mont Ventoux

Foto AFP

MONT VENTOUX, 23 Julai - Valentin Paret‑Peintre menjadi pelumba Perancis pertama mencipta kejayaan dalam edisi Tour de France tahun ini apabila menjuarai peringkat ke‑16 pada Selasa, menewaskan pelumba Ireland, Ben Healy di puncak gunung Mont Ventoux yang berketinggian 1,910 m.

Di belakang mereka, Jonas Vingegaard terus mengejar peneraju keseluruhan, Tadej Pogacar, namun juara bertahan itu hanya berjaya mengekori langkah Vingegaard sepanjang pendakian sejauh 15 km, sekali gus menambah kelebihan masa sebanyak dua saat.

Ketinggalan sebanyak 4 minit 13 saat pada permulaan peringkat ini, Vingegaard melakukan pecutan dengan baki 9 km sebelum sampai di puncak gunung itu.

“Saya tidak mahu mengayuh terlalu kuat kerana bimbang memberi ruang kepadanya untuk melakukan serangan balas. Saya cuba sedaya upaya untuk mengekalkan rentak,

“Dia melancarkan beberapa serangan, tetapi saya hanya cuba untuk terus mengekori tayarnya.” kata Pogacar.

Ketua pasukan UAE Pogacar pula memuji Vingegaard sebagai seorang “prajurit”.

“Dia ada keberanian dan kaki yang kuat, dan kami jangkakan dia akan terus menyerang setiap hari. Dia seorang pejuang,” kata Mauro Gianetti.

Namun begitu, perebutan untuk kemenangan peringkat dilihat antara Healy (EF) dan Paret‑Peintre (Soudal Quick‑Step), di mana Paret‑Peintre menjadi pelumba Perancis pertama yang menang di Mont Ventoux sejak Richard Virenque pada tahun 2002.

“Dia nampak begitu gembira ketika di garisan penamat,” kata Pogacar yang menamatkan pendakian 43 saat di belakang.

Mont Ventoux  dihormati oleh pelumba dan penonton, dan ia menyaksikan beberapa drama dan tragedi terbesar dalam sejarah Tour de France.

Pada tahun 1967, pelumba British, Tom Simpson, meninggal dunia di sini selepas rebah semasa pendakian cuaca panas terik.

Legenda Eddy Merckx mengalami kekurangan oksigen ketika di puncak manakala Chris Froome telah berlari sebahagian daripada pendakian ketika menunggu bantuan mekanikal dalam pemburuan untuk menjuarai gelaran Tour de France ketiga pada 2016.

Healy, yang pernah menerajui jersi kuning selama dua hari selepas memenangi Peringkat ke‑6, kelihatan hampir memenangi peringkat kali kedua apabila dua pelumba itu menghampiri garisan penamat dalam perebutan epik.

Paret‑Peintre kelihatan begitu penat, tetapi disokong oleh sorakan penyokong tuan rumah, dia menemui garisan penamat.

“Saya hampir untuk menyerah, Healy amat kuat, tetapi saya berkata dalam hati, ini Tour de France, Mont Ventoux.

“Saya tahu jika saya boleh bertahan, seksyen terakhir lebih sesuai untuk saya berbandingnya kerana sangat curam. Rupanya ia adalah taktik yang sempurna.” kata Paret‑Peintre.

Bintang muda Jerman Florian Lipowitz mengekalkan tempat ke‑3, dengan kelebihan sekitar 30 saat ke atas pelumba Scotland, Oscar Onley di tempat ke‑4.

Dengan lima peringkat terakhir masih berbaki, Vingegaard dan pasukannya, Visma, cuba lakukan apa sahaja untuk mengecewakan Pogacar.- AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH