KUCHING, 25 September- Rekod kebangsaan baharu untuk skuad Sarawak dalam acara rejam lembing lelaki F55 membuka tirai hari ketiga sukan olahraga pada temasya Para SUKMA 21 Sarawak di Stadium Sarawak di sini pagi ini.
Rekod tersebut dicipta oleh Jamal Nasir Zulkiplis setelah berjaya melontar 21.09 meter pada percubaan terakhir yang sekali gus meraih pingat emas untuk kontinjen tuan rumah.
Rekod lama dengan lontaran 20.97 meter dicipta Mohd Shaari Mohd Jaafar pada 2022.
Muhammad Amirul Alif Abdul Raof daripada Selangor memenangi pingat perak dengan lontaran 19.33 meter. Manakala gangsa pula dimenangi skuad Sabah melalui Samri Butak dengan lontaran 19.04 meter.
Sementara itu, bagi acara rejam lembing wanita F41 pula, kontinjen Kelantan berjaya merangkul pingat emas setelah Mazzdiana Nur Atasya Abd Rahim dengan lontaran 12.93 meter.
Beliau mengalahkan Colorine Sijang dan Nur Rohadatul Syuhada Yunus, kedua-duanya mewakili skuad tuan rumah.