fb fb fb fb fb

Obor olimpik kembali menyala di Reggio Calabria

Foto REUTERS

REGGIO CALABRIA, 20 Disember- Api olimpik kembali ke tanah besar Itali pada Jumaat apabila kawah Olimpik dinyalakan di Reggio Calabria, Itali sebahagian daripada larian obor sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026.

Memasuki hari ke-14 jelajah selama dua bulan di seluruh Itali, larian obor itu bermula di Sicily sebelum menyeberangi Selat Messina ke tanah besar negara berkenaan.

Obor Olimpik dinyalakan bulan lalu di Greece, sebelum diserahkan secara rasmi kepada penganjur Itali pada awal Disember.

Ia kemudian memulakan perjalanan dari Stadio dei Marmi yang bersejarah di Rom pada 6 Disember.

Secara keseluruhan, larian obor itu melibatkan jarak kira-kira 12,000 kilometer, merentasi kesemua 110 wilayah Itali serta lebih 300 perbandaran, dengan sambutan penutup harian dirancang di 60 bandar sepanjang laluan.

Itali, yang dikenali sebagai antara kuasa utama sukan musim sejuk, kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2006 di Turin.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 akan dianjurkan bersama oleh Milan dan Cortina d’Ampezzo di kawasan Dolomites dari 6 hingga 22 Februari, sebelum diteruskan dengan Sukan Paralimpik pada Mac.

Api Olimpik dijadual meneruskan perjalanannya merentasi seluruh wilayah Itali sebelum tiba di Cortina d’Ampezzo pada 26 Januari, tepat 70 tahun selepas temasya Olimpik Musim Sejuk 1956 bermula di lokasi yang sama, sebelum berakhir di Stadium San Siro, Milan, sempena upacara pembukaan pada 6 Februari. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM