fb fb fb fb fb

MSP Nafi jual pakaian SUKMA melalui media sosial

Foto Pahang Media

KUANTAN, 23 Julai- Majlis Sukan Pahang (MSP) menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam sebarang aktiviti jualan yang membabitkan pakaian rasmi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, MSP menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu mahupun syarikat untuk menjual pakaian rasmi tersebut melalui platform media sosial, termasuk Facebook.

“Kami telah mengesan beberapa hantaran di laman Facebook yang mendakwa menjual pakaian SUKMA atas nama Majlis Sukan Pahang,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MSP menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran-tawaran mencurigakan yang disebarkan secara dalam talian.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut atau keraguan berhubung perkara ini, orang ramai diminta melaporkannya kepada MSP menerusi talian atau e-mel rasmi kami bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

MSP turut menegaskan sebarang urusan berkaitan pakaian rasmi SUKMA hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi agensi itu, termasuk laman web dan media sosial rasmi.-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH