fb fb fb fb fb

MSN sambut baik keputusan pihak penganjur Sukan Sea 2025 senarai semula enam sukan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September - Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik kemasukan semula enam sukan yang berpotensi menjadi penyumbang pingat negara di Sukan SEA Thailand 2025.

Ia dilihat petanda baik dalam misi memperbaiki prestasi Malaysia di temasya dwitahunan itu.

Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub berkata justeru pihaknya kini sedang merangka beberapa pelan awal termasuklah memperkasakan program-program latihan sukan terlibat dan juga sukan yang mampu menyumbang pingat emas buat Malaysia.

“Jadi dengan kemasukan beberapa sukan yang kita kuat di peringkat Asia dan dunia, kita tidak boleh ambil ringan kerana negara lain juga mungkin boleh bagi saingan.

“Jadi kita akan cuba untuk mempertingkatkan prestasi-prestasi sukan berkenaan dan juga sukan-sukan lain supaya lebih cemerlang berbanding di Sukan SEA Kemboja yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada kontinjen negara yang akan bertanding di Kejohanan Unite International di Klang, Selangor pada 25 hingga 29 September ini.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA) Datuk Abdul Malek Mohd Noor dan Timbalan Presiden MAGGA Datuk V Radhakrishnan.

Semalam Bernama melaporkan enam jenis sukan iaitu tenpin boling, angkat berat, wushu, karate, jujitsu dan kabaddi yang digugurkan sebelum ini disenaraikan semula pada Sukan SEA 2025.

Sementara itu, Radhakrishnan berkata seramai 1000 peserta daripada sembilan negara bakal bertanding di Kejohanan Antarabangsa Unite.

“Lima pingat emas disasarkan kepada kontinjen negara daripada 17 kategori dipertandingkan. Sasaran itu mampu dicapai kerana di Asia kita berada di ranking pertama.

“Pertandingan ini merupakan medan pemanas badan kepada atlet negara sebelum bertanding di Kejohanan Asia dekat Hong Kong pada Oktober ini dan Kejohanan Dunia di Estonia (November)," katanya. - BERNAMA

Trainee2