(Pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin (tengah); pelumba Gresini Racing MotoGP, Enea Bastianini (kiri) dan
pelumba Repsol Honda Team, Marc Marquez (kanan) bergambar bersama selepas sesi kelayakan kedua MotoGP 2022, di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini / Foto Bernama)
SEPANG, 22 Oktober- Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP 2022, pelumba Sepanyol dari pasukan Prima Pramac Racing, Jorge Martin mencetuskan sensasi apabila meleburkan rekod sepusingan terpantas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk meraih petak pertama kelas MotoGP pada saingan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 di sini, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Martin berpeluang merangkul kejuaraan sulungnya di Litar Antarabangsa Sepang selepas bakal memulakan perlumbaan kelas premier di petak utama.
(Aksi pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin ketika sesi latihan bebas ketiga
MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini / Foto Bernama)
Pelumba berusia 24 tahun dari Sepanyol itu menunjukkan potensi sebenarnya selepas mencatat masa 1:57:790 saat.
Pelumba Gresini Racing, merupakan pelumba Italy, Enea Bastianini pula akan memulakan saingan esok di petak kedua selepas mencatat 1:58:246 saat.
Petak ketiga menjadi milik pelumba Repsol Honda, Marc Marquez yang mencatat 1:58:454 saat.
Dalam kategori Moto Two pula, pelumba Idemitsu Honda team Asia, Ai Ogura meraih petak pertama dalam catatan masa 2:06:405 saat pada sesi kelayakan.
Petak kedua menjadi milik pelumba Elf Marc VDS racing team, Tony Arbolino manakala pelumba Flexbox HP40, Aron Canet akan bermula di petak ketiga.