KUALA LUMPUR, 12 Disember - Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan pemenang Olimpian Tahunan pada Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-27.
Ia susulan kejayaan cemerlang pasangan beregu itu yang meraih pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain itu, Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang turut diangkat sebagai Pemenang Olimpian Tahunan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas meraih pingat perak dalam acara keirin pada Ogos 2021.
Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan dan atlet skuasy S.Sivasangari masing-masing dipilih sebagai Olimpian Tahunan bagi Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou 2022 bagi kategori lelaki dan wanita.
Kesemua pemenang Olimpian Tahunan menerima wang tunai dan plak yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Tang Kwai Mae atau lebih dikenali Mae Chen dipilih sebagai pemenang Anugerah Wanita dan Sukan MOM atas sumbangan hampir dua dekad dalam memajukan sukan akuatik negara.
Malam Anugerah MOM kali terakhir dianjurkan pada 2019 susulan pandemik COVID-19, turut mengangkat pemenang anugerah Olimpian Terbaik dalam temasya sukan utama yang berlangsung dari 2020 hingga 2024.