fb fb fb fb fb

Messi tidak bermain di Olimpik Paris

Penyerang Argentina, Lionel Messi/Foto REUTERS

PARIS, 13 Jun-Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi berkata dia tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad Argentina ke Sukan Olimpik Paris memandangkan faktor usia yang tidak membenarkannya beraksi pada setiap kejohanan.

Penyerang Inter Miami berusia 36 tahun itu kini sedang bersedia mempertahankan kejuaraan Copa Amerika yang dimenangi Argentina pada 2021 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada 20 Jun hingga 14 Julai 2024.

Februari lalu, Pengurus skuad bawah 23 tahun Argentina, Javier Mascherano berkata Messi yang pernah memenangi pingat emas bersama skuad berkenaan pada 2018 dialu-alukan menyertai skuad tersebut.

"Saya telah bercakap dengan Mascherano dan kami berdua memahami situasi sebenar.

"Ia adalah sesuatu yang sukar bagi memikirkan tentang Sukan Olimpik kerana kami kini sedang bersiap bagi menghadapi Copa Amerika", ujar Messi.

"Ia memerlukan tempoh masa panjang selama dua hingga tiga bulan berterusan dan saya tidak lagi muda untuk semua itu", kata Messi kepada ESPN.

Pertandingan bola sepak Sukan Olimpik akan memulakan aksi pada bulan Julai dan Ogos.Setiap pasukan bertanding dibenarkan mempunyai tiga pemain melebihi usia pada kejohanan berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD