MIAMI, 24 Oktober - Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi melanjutkan kontraknya bersama kelab Inter Miami hingga 2028, menurut pengumuman rasmi kelab itu pada Khamis.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu sebelum ini pernah menyatakan Inter Miami akan menjadi kelab terakhirnya, namun Messi masih belum memberi sebarang bayangan tentang persaraan, sebaliknya menegaskan usia tidak akan menghalangnya untuk terus bermain.
Dalam pengumuman rasmi di laman sosial, Messi dilihat menandatangani kontrak baharu di dalam stadium baharu Inter Miami, Miami Freedom Park, yang dijadual siap pada 2026.
“Saya sangat gembira dapat kekal di sini dan meneruskan projek ini yang bukan sahaja impian, tetapi sudah menjadi satu kenyataan indah,” kata Messi.
“Sejak saya tiba di Miami, saya sangat bahagia dan benar-benar mahu teruskan perjalanan ini", jelasnya.
Sementara itu, pemilik bersama Inter Miami, David Beckham, memuji komitmen serta semangat yang ditunjukkan oleh ketua pasukan Argentina itu.
“Dia masih bersemangat seperti dulu dan mahu terus menang.
"Memiliki pemain yang mencintai bola sepak dan memberi inspirasi kepada generasi baharu di negara ini adalah satu penghormatan besar buat kami", ujarnya.
Messi dijangka kekal sebagai pemain dengan bayaran tertinggi dalam MLS, dengan pendapatan tahunan AS$20.45 juta (RM97 juta) berdasarkan kontrak asalnya dari 2023 hingga 2025.
Perjanjian itu turut memberi peluang kepadanya menjadi rakan kongsi pemilik Inter Miami bersama Beckham dan keluarga Mas selepas bersara.
Meskipun belum mengesahkan sama ada akan beraksi di Piala Dunia 2026, Messi berkata bahawa beliau masih “bermotivasi dan teruja” untuk tampil bermain di kejohanan berprestij itu.
Musim ini, Messi mengetuai senarai penjaring terbanyak dengan 29 gol dan membantu Inter Miami menamatkan saingan di tangga ketiga konferensi Timur.
Mereka dijadual menentang Nashville SC pada pusingan pertama playoff Piala MLS bermula Jumaat ini.
Messi, yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 2022, baru sahaja menamatkan salah satu musim terbaik dalam sejarah MLS dan dijangka memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut tahun ini. - REUTERS