KANGAR, 2 Jun- Pasukan Majlis Bandaraya Diraja Klang Royal Town Warriors (MBDK RTW) muncul juara pada Kejohanan Ragbi Takaful Ikhlas Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Perlis Royal 7s) 2025 selepas menewaskan pasukan 'Malaysian University' dengan keputusan 22-19 dalam perlawanan akhir kategori terbuka di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.
Sementara itu kategori wanita terbuka, 'Bunga Raya Ladies' dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan 'Perlis Border Girls' dengan keputusan 17-0.
Bagi kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, kemenangan berpihak kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang berjaya menundukkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan skor 24-12.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.
Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta penaja utama iaitu Takaful Ikhlas yang disertai 30 pasukan dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM30,000.
Penganjuran kejohanan berkenaan merupakan salah satu acara berprestij sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan dan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Selain itu ia juga menjadi antara tarikan dalam kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang disambung sehingga penghujung tahun depan sebagai kesinambungan kepada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.