NEW DELHI, 21 Julai- Jurulatih bola sepak berdarah Sepanyol, Manolo Marquez telah dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak lelaki India yang baharu, lebih sebulan selepas penyingkiran Igor Stimac.
Persekutuan Bola Sepak Seluruh India dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Marquez, 55, telah melatih pasukan liga di India sejak 2020 dan akan mengambil peranan untuk pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.
"Kami gembira untuk mengalu-alukan Encik Marquez untuk menggalas peranan penting ini."
Pihak pengurusan tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih baharu itu pada tahun-tahun mendatang," kata Presiden AIFF, Kalyan Chaubey.
Marquez, yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman antarabangsa dalam pengurusan bola sepak, telah menjadi jurulatih Goa FC sejak Jun tahun lalu.
Beliau turut berterima kasih kepada AIFF atas peluang itu kerana dia menganggap India sebagai rumah keduanya.
“Saya mahu melakukan yang terbaik untuk membawa kejayaan kepada jutaan peminat yang kami ada,” katanya.
Bekas pertahanan West Ham dan Croatia, Stimac dipecat pada Jun berikutan prestasi buruk pasukan India dalam kelayakan Piala Dunia.
Tempoh lima tahun Stimac berakhir dengan kontroversi, dengan persekutuan India menuduhnya menggunakan 'astrologi' untuk memilih pasukannya.
Stimac, yang bermain pada pusingan separuh akhir Piala Dunia untuk Croatia pada 1998, menjadi jurulatih India pada 2019 dan mereka secara ringkas mencecah ranking 100 teratas dunia FIFA hanya untuk kali kedua dalam hampir tiga dekad.
Pernah dipanggil "gergasi tidur" sukan itu oleh bekas presiden FIFA, Sepp Blatter dan kini India berada di kedudukan ke-124 dunia.- AFP