(Aksi pemain pertahanan antarabangsa Argentina, Lisandro Martinez (kiri) pada perlawanan
menentang pasukan Brazil/AFP)
UNITED KINGDOM, 18 Julai - Pemain pertahanan antarabangsa Argentina, Lisandro Martinez bakal menjadi pemain ketiga Manchester United pada jendela perpindahan selepas kelab gergasi Inggeris itu bersetuju dengan perjanjian bersama Ajax pada Ahad.
Ajax mengesahkan United akan membayar 57 juta Euro dengan terma tambahan 10 juta Euro untuk bonus berkaitan prestasi.
"Manchester United berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kelab telah mencapai persetujuan dengan Ajax untuk perpindahan pemain pertahanan antarabangsa Argentina, Lisandro Martinez, tertakluk kepada perubatan, syarat pemain yang dimuktamadkan dan keperluan visa UK," kata United dalam satu kenyataan.
(Pemain pertahanan antarabangsa Argentina, Lisandro Martinez bakal menjadi pemain terbaharu
Manchester United/AFP)
Martinez bersedia untuk bersatu semula dengan bekas bosnya, Erik ten Hag di Old Trafford.
Pengurus baharu United, Ten Hag sebelum ini telah pun mengikat pemain tengah, Christian Eriksen dan bek kiri, Tyrell Malacia ke dalam skuad yang menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tahun lepas itu.
Martinez berpindah ke Ajax dari Defensa y Justicia di tanah airnya, memenangi dua gelaran Eredivisie dan membantu juara Belanda itu mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim lalu. -AFP