fb fb fb fb fb

Manchester United fokus prestasi, Amorim tolak kontroversi Mainoo

Ruben Amorim/ REUTERS

LONDON, 20 Disember - Meskipun abang tiri pemain tengah Manchester United memakai kemeja-T bertulis 'Free Kobbie Mainoo', ia tidak menjejaskan peluang Kobbie Mainoo untuk beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan, kata Ketua Jurulatih Manchester United, Ruben Amorim.

Abang tiri Mainoo, Jordan Mainoo-Hames, dilihat mengenakan kemeja-T tersebut ketika perlawanan berakhir seri 4-4 menentang Bournemouth di Old Trafford, Isnin lalu. Perlawanan yang menyaksikan Mainoo dimasukkan 30 minit terakhir permainan.

Mainoo masih belum diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam Liga Perdana musim ini dan hanya mencatat 11 penampilan sebagai pemain gantian, namun Amorim menegaskan insiden berkenaan langsung tidak memberi kesan terhadap pemilihan pemain menjelang pertemuan menentang Aston Villa, Ahad ini.

"Tidak, Kobbie bukan orang yang memakai kemeja-T itu. Dia tidak akan diturunkan atau diketepikan hanya kerana perkara tersebut. Dia akan bermain jika kami merasakan dia adalah pemain yang sesuai.

"Ini bukan isu baharu. Saya sudah berada di sini selama setahun dan kami perlu menanganinya secara profesional. Saya tidak akan menghukum Kobbie hanya kerana ahli keluarganya melakukan sesuatu. Ia kekal sama. Jika dia pemain yang tepat untuk diturunkan, dia akan bermain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amorim turut menangani rasa tidak puas hati kapten pasukan, Bruno Fernandes, selepas pemain tengah Portugal itu mendedahkan kepada Canal 11 bahawa dia berasa tersinggung apabila kelab dikatakan mahu melepaskannya susulan minat daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal.

Fernandes berkata dia berpeluang meninggalkan kelab pada jendela perpindahan pramusim lalu, namun memilih untuk kekal bukan sahaja demi keluarganya, tetapi kerana cintanya yang mendalam terhadap Manchester United.

"Dia meluahkan apa yang dirasakannya. Kami semua sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan dia telah berbincang dengan pihak pengurusan. Saya fikir semuanya sudah jelas.

"Kami hanya bercakap tentang perasaannya dan itu adalah sesuatu yang perlu dijawab olehnya sendiri. Dia sentiasa memberikan segalanya kepada pasukan.

"Dia adalah contoh besar dalam pasukan. Cara dia berlatih dan bermain menunjukkan dia seorang pemain berkarakter istimewa," kata Amorim.

Manchester United bakal berdepan Aston Villa yang muncul sebagai pencabar kejuaraan musim ini apabila pasukan kendalian Unai Emery itu berada di tangga ketiga liga, tiga mata di belakang pendahulu Arsenal dan satu mata di belakang Manchester City.

Villa mencatat sembilan kemenangan berturut-turut di laman sendiri, menjadikan Villa Park sukar ditembusi, dan Amorim mengakui pasukan itu berpotensi untuk bersaing merebut kejuaraan.

"Apa sahaja boleh berlaku. Mereka mempunyai pengurus berpengalaman. Apabila menonton Villa bermain, anda dapat merasakan kematangan pasukan ini.

"Unai Emery tidak panik ketika ketinggalan dan tidak terlalu teruja ketika menang. Dia sentiasa mengawal emosinya.

"Mereka pasukan yang sangat kuat. Sama ada mereka mampu bersaing hingga akhir musim, saya tidak pasti, tetapi mereka mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI